Subsidi ayam, telur diteruskan mulai 1 Julai
PUTRAJAYA – Pemberian subsidi dan kawalan harga ayam dan telur diteruskan mulai 1 Julai ini.
Menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam kenyataan bersama, langkah itu dibuat selepas mengambil kira semua aspek.
“Setelah mengambil kira semua aspek termasuk memastikan industri ayam dan telur kekal mampan dan kebajikan rakyat terus terbela, Perdana Menteri telah bersetuju dengan cadangan KPKM dan KPDN supaya pemberian subsidi dan kawalan harga ayam dan telur diteruskan mulai 1 Julai 2023.
“Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Februari yang lalu membuat keputusan untuk meneruskan pemberian subsidi ayam dan telur bermula 1 Januari hingga 30 Jun 2023,” katanya.
Dalam pada itu, menurut kenyataan itu lagi, keputusan untuk meneruskan pemberian subsidi ini diambil demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara selaras dengan aspirasi Kerajaan Malaysia Madani.
Media sebelum ini melaporkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memberitahu bahawa tiada lagi subsidi ayam dan telur daripada kerajaan bermula 1 Julai depan.