Pemimpin Wanita UMNO perlu diberi lebih peluang terajui Kementerian Kanan
KUALA LUMPUR – Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad mengulangi gesaan supaya lebih ramai pemimpin dari sayap parti itu diberi peluang menerajui kementerian yang lebih kanan.
Katanya, pengisian jawatan itu tidak sepatutnya diberikan sekadar untuk mengisi portfolio atau mencukupi kouta tradisi sebaliknya dilakukan atas kapasiti dan kredibiliti calon.
Dr Noraini menggesa, Wanita UMNO perlu diberikan kuota 30 peratus kerusi dan bukan lagi sekadar janji-janji.
“Wanita adalah tonggak penting dalam pembangunan negara sejak dari dahulu lagi. Sesiapa pun tidak boleh menafi dan meremehkan peranan wanita.
“Wanita perlu dilihat seiring dengan peredaran politik ketika ini. Kita tidak mahu wanita sering diberikan dengan portfolio-portfolio tradisi seperti ada-ada sahaja.
“Kita tidak mahu wanita sekadar memanaskan kerusi-kerusi di agensi dan GLC sahaja. Kita tidak mahu wanita sekadar dijanjikan dengan sejumlah bilangan kerusi, kita mahu wanita diberikan jawatan-jawatan penting di dalam agensi dan GLC.
“Sudah tiba masanya wanita diberikan peranan yang lebih besar. Kita mahu wanita diberikan peluang untuk menerajui kementerian yang lebih kanan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Wanita Umno 2023 dengan tema “Meladeni Perubahan Politik” di WTCKL pada Khamis.
Menurut Noraini, beliau selaku pemimpin Wanita tidak akan ‘menyerah’ kalah sehingga tuntutan itu terlaksana.
Selain itu katanya, Wanita juga perlu mempunyai sebuah institusi yang dapat membangun dan mencungkil potensi serta ketrampilan wanita untuk diketengahkan.
“Wanita Umno mesti bergerak ke hadapan. Evolusi politik Wanita Umno perlu diberi lebih banyak perhatian agar lebih dipercayai, lebih moden, lebih berkelangsungan,” ujar Ahli Parlimen Parit Sulong itu lagi.