Zahid gariskan tiga rukun politik jadi kompas UMNO
KUALA LUMPUR – Bagi mendepani dinamika dan realiti semasa politik negara, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah menggariskan tiga rukun politik sebagai panduan ahli UMNO.
Timbalan Perdana Menteri berkata, rukun pertama adalah menetapkan sasaran penguasaan kerusi Parlimen bagi memastikan UMNO menjadi parti yang membentuk kerajaan.
Selain itu, katanya, UMNO juga perlu membuka pilihan untuk bekerjasama dengan jajaran politik yang menerima keindukan Islam dan Melayu sebagai teras sebagai rukun kedua.
“Rukun ketiga UMNO perlu memastikan politik sederhana dengan mengambil jalan tengah
sebagai model kesepakatan yang berupaya memelihara kestabilan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan beliau semasa ucapan dasar Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Jelas Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), beliau menggariskan tiga rukun itu susulan perubahan pola politik dan sikap pengundi dengan memetakan komposisi kerusi dalam Parlimen.
Ujar beliau, senario semasa, 222 kawasan Parlimen kini diwakili oleh hampir seimbang antara parti-parti utama.
“Ini kerana tiada satu parti atau gabungan menguasai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, malah beberapa kajian dan dapatan menjangkakan keadaan sama berlaku pasca Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
“Sebagai parti, keadaan ini tentunya menjadi laluan yang sukar, namun ia membuka ruang kepada semua parti untuk mencari titik persamaan atas kemaslahatan negara.
“Kerjasama antara parti untuk menubuhkan kerajaan dilihat sebagai natijah paling besar dengan perubahan landskap politik masa kini,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Ahmad Zahid berkata, adalah penting untuk memastikan usaha memastikan agar UMNO terus dominan dalam erti kata menguasai dan mempunyai kelebihan di tengah-tengah perubahan landskap.
“Pertama, kita mesti dominan daripada segi bilangan kerusi. Ini menuntut semua UMNO Bahagian yang Parlimen atau DUN nya kalah, perlu merencana usaha untuk menawan semula kerusi-kerusi berkenaan.
“Kedua, kita mesti dominan dalam kedudukan perundingan sekiranya keadaan memerlukan perkongsian.
“Ketiga, kita mesti dominan dalam ideologi perjuangan iaitu mempertahankan keindukan Islam dan Melayu atau Bumiputera.
“Keempat, kita mesti dominan dalam menawarkan dasar-dasar awam yang menjamin kesejahteraan hidup rakyat dan kemakmuran negara,” katanya.