Berita Semasa

Tiga maut kereta langgar penunggang motosikal sedang berteduh di bawah jejambat

CYBERJAYA – Tiga penunggang motosikal yang sedang berteduh daripada hujan di bawah jejambat maut  dilanggar sebuah kereta dalam satu kemalangan, pagi tadi.

Dalam kejadian di di Kilometer 19.6 Lebuh Raya NKVE arah Selatan itu, tiga lagi penunggang motosikal tercedera dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh bagi menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, ketika kejadian, kereta jenis Honda City Hatchback yang dipandu seorang lelaki warganegara tempatan hilang kawalan lalu melanggar enam buah motosikal.

“Lebih kurang 6.50 pagi tadi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Petaling Jaya menerima satu laporan berkenaan kemalangan.

“Siasatan awal mendapati kenderaan Honda City Hatchback itu dalam perjalanan ke Cyberjaya dari Kuala Lumpur, dan kemalangan berlaku pada kira-kira pukul 5.59 pagi,” kata Mohamad Fakhrudin dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, kesemua yang maut berusia di antara 19 hingga 37 tahun.

Menurut beliau, pemandu kereta tersebut telah ditahan bagi siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Fakhrudin meminta saksi kejadian tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Navalan a/l Ravindran di talian 014-2536820.

Show More

Related Articles

Back to top button