Politik

PRN: PKR mula saring calon Jun ini – Aminuddin Harun

SEREMBAN – Pucuk pimpinan PKR dijangka akan mula menyaring calon bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum hujung Jun ini, kata Naib Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Menurut Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, ibu pejabat PKR dijangka mula menerima senarai calon yang akan bertanding pada PRN awal bulan Jun.

“Senarai calon semua boleh hantar, ada yang hantar kepada cabang, kepada Majlis Pimpinan Negeri (MPN) dan boleh juga diri sendiri yang hantar terus (kepada pucuk pimpinan).

“Kita terbuka dan tidak tetapkan jumlah calon atau berapa banyak calon yang ingin dikemukakan kerana saringan hanya akan dilakukan oleh pucuk pimpinan parti yang dijangka sebelum akhir Jun nanti,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Terdahulu, Aminuddin mempengerusikan mesyuarat mingguan EXCO di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Tambah Aminuddin, pucuk pimpinan akan melihat kriteria tertentu yang dimiliki setiap calon sebelum mereka dinamakan sebagai wakil parti untuk bertanding pada PRN nanti.

Jelas Pengerusi MPN itu, pelbagai aspek diambil kira terhadap calon kerana sasaran utama adalah untuk memastikan mereka yang terpilih dapat diterima pengundi dan memenangkan parti.

Ditanya mengenai kemungkinan beliau akan bertanding dan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, pada PRN itu nanti, beliau berkata, perkara itu belum dibincang dan diputuskan.

“Belum lagi, saya pun tak tahu (bertanding atau tidak),” katanya yang juga Ahli Parlimen Port Dickson.

Show More

Related Articles

Back to top button