Seni, budaya bentuk karamah insaniah
KUALA LUMPUR – Seni dan budaya masih mempunyai tempat dalam pendidikan kerana peranannya dalam membina karamah insaniah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menolak pandangan serong yang mengatakan seni dan budaya sudah tidak relevan lagi.
“Keutamaan dunia sekarang adalah teknologi, sains digital, itu tidak kita nafikan, tetapi karamah insaniah tidak mampu dibentuk kerangka teknologi digitalisation.
“Apabila berbicara soal karamah insaniah, pembentukan manusia perlukan tekad keyakinan, nilai, akhlak dan budaya,” kata Anwar.
Karamah insaniah merupakan elemen penting dalam pembentukan tamadun, dan kerangka Malaysia MADANI yang diilhamkan Perdana Menteri dengan jelas menggariskan elemen tersebut.
“Sebab itu saya cuba ungkapkan negara Madani dalam konteks itu.
“Negara tidak boleh berkembang tanpa pembinaan tamadun… (ia) mesti didasari dengan kekuatan nilai, dan akhlak dan keindahan yang dilengkapkan dengan semangat karamah insaniah.”
Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Seminar Fikrah Siddiq Fadzil: Citra Budaya dan Peradaban Bangsa Malaysia, di sini hari ini.
Seminar ini diadakan bagi mengenang sumbangan Allahyarham Prof Datuk Dr Siddiq Fadzil selaku tokoh intelektual Melayu yang sering melontarkan idea dan gagasan yang menggugah minda dan mendahului zaman.