E-invois: LHDN beri jaminan keselamatan data pengguna di tahap tertinggi
KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memberi jaminan keselamatan data pengguna sistem e-invois akan berada di tahap tertinggi menjelang pelaksanaannya hujung tahun ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Mohd Nizom Sairi, tahap keselamatan data yang digunakan tidak akan berkurang dan akan mengikut garis panduan yang ditetapkan.
“Dari segi keselamatan data dan maklumat pembayar cukai itu, sehingga kini tidak ada apa-apa kejadian yang serius berkaitan keselamatan data.
“LHDN akan meneruskan penjagaan data ini ke tahap tertinggi kerana data ini adalah data yang sulit peribadi dan sebagainya.
“Tahap keselamatan data pula dari segi standard kita akan pastikan tidak akan kurang daripada apa yang LHDN ada sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas satu sesi libat urus bersama hampir 220 orang peserta yang terdiri daripada pengamal media, pempengaruh media dan pemain industri di Hotel Westin di sini, hari ini.
Susulan pelaksanaan inisiatif ini, pembayar cukai termasuk syarikat dan individu kini tidak lagi perlu menyimpan invois dan resit sehingga tujuh tahun.
Jelas Dr Mohd Nizom, pelaksanaan inisiatif tersebut mampu menambah baik kualiti perkhidmatan yang ditawarkan oleh pentadbir cukai.
Katanya, pembayar cukai akan dapat meningkatkan kecekapan operasi perniagaan, memudahkan urusan penyimpanan rekod dan mengurangkan kos pematuhan cukai.
Ditanya mengenai tempoh percubaan bagi inisiatif e-invois ini, Dr Mohd Nizom berkata pelaksanaanya akan dibuat seawal Mac tahun hadapan secara sukarela.
“Kita dalam pembangunan e-invois sekarang mengharapkan ujian awal (pilot) boleh dilaksanakan pada Mac tahun hadapan. Yang Jun 2024 akan bermula fasa pertama di mana perniagaan perniagaan yang mencapai nilai ambang jualan RM100 juta setahun.
“Untuk pilot project (ujian awal) ini kita akan buat libat urus untuk jemput pihak yang sistem mereka sudah bersedia dan kita akan berikan banyak masa untuk mereka bersedia,” katanya lagi.
Tambahnya lagi, LHDN juga menyasarkan menjelang tahun 2027 pelaksanaan mandatori akan dilaksanakan bagi semua perniagaan.