Jenayah & Mahkamah

Op Hire: SPRM tahan 67 individu, beku akaun bernilai RM3.2 juta

CYBERJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah membekukan beberapa akaun bank dengan nilai terkumpul sebanyak RM3.2 juta berhubung kes tuntutan palsu di bawah program Penjana Kerjaya.

Laporan Utusan Online menyebut, pembekuan tersebut dibuat susulan penahanan 67 individu di seluruh negara dalam operasi khas Op Hire 2.0 sejak Selasa lalu sehingga semalam.

Laporan itu turut menyebut, sumber memaklumkan tangkapan terbaharu membabitkan seorang lelaki di Sarawak, semalam.

Katanya, semua yang ditahan terdiri daripada pemilik syarikat, pengarah dan pengurus syarikat.

“SPRM juga sedang giat mengesan aset dibeli individu berkenaan menggunakan dana kerajaan itu.

“Ada yang dikesan menyeleweng dana kerajaan itu dipercayai untuk bagi tujuan kepentingan diri, termasuk membeli aset dan barangan mewah lain.

“SPRM juga dipercayai ada merampas dua kenderaan mewah yang dibeli mereka hasil daripada dana berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Menurutnya, mereka kini sedang melengkapkan siasatan dan dijangka akan melakukan pertuduhan.

Katanya, semua pegawai penyiasat akan dipanggil untuk melengkapkan kertas siasatan di negeri masing-masing.

“Kes ini dipantau dan diselaraskan oleh saya di peringkat Ibu pejabat,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, lebih 100 syarikat berstatus sendirian berhad diburu SPRM kerana disyaki membuat tuntutan palsu di bawah program itu.

Show More

Related Articles

Back to top button