Tekanan angin rendah punca gangguan teknikal MRT – Rapid Rail
KUALA LUMPUR: Dua gangguan teknikal dialami perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Kajang semalam berpunca daripada tekanan angin rendah, jelas Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail).
Dalam kejadian semalam, gangguan pertama membabitkan masalah teknikal di Stesen MRT Pasar Seni bermula pada 5.24 petang yang menyebabkan tren berhenti dan sistem brek kecemasan diaktifkan secara automatik.
Menurut Rapid Rail, pasukan kejuruteraan Rapid Rail berjaya menggerakkan tren terbabit pada 6.49 petang dan kekerapan perkhidmatan tren telah diselaraskan secara berperingkat pada 7.10 malam.
“10 bas perantara percuma disediakan antara Stesen MRT Muzium Negara dan Stesen MRT Maluri serta mengaktifkan pelan laluan alternatif bagi memudahkan perjalanan penumpang yang terkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementera itu, gangguan kedua pula membabitkan gangguan teknikal di Stesen Batu 11 Cheras menghala ke Kwasa Damansara pada 7.23 malam.
Katanya, pasukan kejuruteraan berjaya menggerakkan tren pada 8.04 malam serta kekerapan perkhidmatan tren diselaraskan secara berperingkat pada 8.10 malam.
“Kakitangan operasi dan Polis Bantuan ditempatkan di stesen bagi membantu melancarkan pergerakan penumpang yang terjejas serta pengumuman dibuat menerusi media sosial Rapid KL, di semua stesen dan di dalam tren MRT untuk makluman penumpang,” katanya lagi.
Tambah Rapid Rail, operasi tren telah dilanjutkan pada waktu puncak dengan kekerapan tren setiap enam minit sehingga 8.30 malam dan memohon maaf di atas kesulitan dialami penumpang.