Bidaan nombor siri pendaftaran FF dilanjutkan – Loke
PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melanjutkan masa bagi bidaan siri nombor pendaftaran FF menerusi sistem JPJeBid yang dijadual tamat semalam sehingga 10 malam ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, langkah itu diambil selepas mengambil maklum aduan orang ramai tentang sistem JPJeBid yang tidak stabil apabila tempoh untuk pembidaan bagi nombor plat FF akan berakhir disebabkan trafik yang tinggi.
“Untuk berlaku adil, JPJ telah melanjutkan masa pembidaan untuk 24 jam,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Loke pada masa sama berkata beliau akan berusaha untuk memantapkan sistem digital di bawah JPJ dan agensi lain di bawah kementerian, malah telah mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Penasihat Digital (JPD) kementerian yang memberi nasihat penambahbaikan.
Sebelum ini tular ketidakpuasan hati peminat nombor pendaftaran itu apabila sistem bidaan tersebut tidak stabil berikutan mendapat sambutan yang luar biasa.