Berita Semasa

Suami dicadang potong gaji, bayar emolumen kepada isteri suri rumah

KUALA LUMPUR – Naib Ketua Wanita Parti Pesaka Bersatu Sarawak (PBB), Datuk Seri Nancy Shukri mencadangkan agar gaji ketua keluarga dipotong sebagai emolumen kepada isteri yang mengurus rumah tangga.

Menurut Nancy, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, cadangan berkenaan adalah bagi mengiktiraf pekerjaan tidak berbayar sebagai pekerjaan, antara lain bertujuan memperkasa ekonomi wanita.

“Ramai yang bekerja di rumah itu tidak dibayar, mereka menjaga keluarga tapi ada juga suami yang menjadi pengurus di rumah dan juga ibu bapa mengurus di rumah, (mereka) tak ada gaji.

“Kalau dapat kita iktirafkan pekerjaan tidak berbayar (ini) dan mintalah anak atau suami, kita minta izin supaya mereka boleh potong gaji,” katanya dalam ucapan beliau pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) semalam.

Tambahnya, dasar 30 peratus penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan sewajarnya direalisasikan bagi memastikan lebih ramai golongan hawa terlibat dalam dunia pekerjaan.

“Marilah kita bersama-sama menjadikan dasar 30 peratus wanita ini dijadikan satu kenyataan, pastikan ia terlaksana.

“Jangan cakap sahaja, 30 peratus wanita dalam pembuat keputusan… memang ia dasar yang lama tetapi keberkesanannya perlu kita pertingkatkan,” katanya lagi.

Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang diadakan buat julung kali membuka tirainya dengan Konvensyen Nasional Wanita Kerajaan Perpaduan dan Konvensyen Nasional Pemuda Kerajaan Perpaduan, yang diadakan secara serentak pagi semalam.

Show More

Related Articles

Back to top button