Politik

Dr Mahathir sudah tinggalkan GTA

JITRA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan sudah meninggalkan Gerakan Tanah Air (GTA) dan tidak lagi memegang apa-apa jawatan dalam gerakan berkenaan.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas menyedari bahawa GTA tidak dapat berfungsi dengan baik selain gagal menarik sokongan pengundi terutama ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), November lepas.

“(Jawatan Pengerusi GTA) yang itu (perkara) lama… (kini saya) tidak ada (sebarang jawatan), (matlamat penubuhan) GTA tidak jadi, (GTA) tidak membantu kita (untuk menang pilihan raya), kerana ia (berbentuk) parti.

“Kita dapati kalau (bergerak) sebagai parti, kita tidak boleh menang, kita sudah lawan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), GTA dan (Parti) Pejuang (Tanah Air) kalah 125 kerusi (yang ditandingi selain hilang deposit).

“GTA (sebelum ini juga) kita tidak (dapat) register, (kita) belum register (sebagai sebuah parti yang sah), (oleh kerana) GTA ‘not functioning’ dan tidak bergerak, (saya kini tidak bersama mereka),” kata Dr Mahathir.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Pertubuhan Prihatin Kubang Pasu di Kampung Naga, di sini malam tadi (Khamis).

Dr. Mahathir seterusnya menjelaskan, beliau kini bergerak melalui medium Proklamasi Orang Melayu selain tidak terlibat dengan mana-mana parti politik di negara ini.

Medium berkenaan, jelas bekas Ahli Parlimen Langkawi itu, berupaya memberi kesedaran kepada orang Melayu di negara ini tentang nasib mereka yang dilihat sudah kehilangan kuasa di negara sendiri.

Show More

Related Articles

Back to top button