Lelaki maut ditikam akibat komen saiz payudara pelanggan
MELAKA – Seorang lelaki maut setelah ditikam oleh seorang pelanggan lain setelah mangsa dipercayai mengeluarkan kata-kata kurang sopan mengenai seorang pelanggan wanita di sebuah gerai makan di Taman Kenanga, Tengkera, di sini awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, sebelum kejadian mangsa yang berusia 35 tahun bersama beberapa rakannya datang ke gerai berkenaan dalam keadaan mabuk selepas selesai berhibur.
“Selesai makan, si mati dikatakan bercakap dengan rakannnya mengenai saiz payudara seorang pelanggan wanita di situ berusia 26 tahun yang kemudian ditegur lelaki berusia 27 tahun mendakwa dia adalah pengawal peribadi wanita terbabit.
“Keadaan menjadi tegang apabila berlaku tolak menolak dan tumbuk menumbuk antara si mati, pengawal peribadi dan kekasih wanita itu berusia 36 tahun,” katanya kepada portal MG .
Christopher menambah, polis kemudian menerima maklumat kejadian daripada orang awam pada pukul 4.15 pagi dan pemeriksaan selepas itu mendapati mangsa dalam keadaan cedera dan tidak sedar.
“Lelaki itu di bawa ke Hospital Melaka oleh dua rakannnya menaiki sebuah pacuan empat roda sebelum doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
“Laporan bedah siasat menunjukkan, mangsa meninggal dunia akibat luka kesan tikaman pada jantung,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Tambahnya susulan itu, polis menahan tujuh suspek berusia antara 25 hingga 38 tahun termasuk pengawal peribadi berkenaan serta teman wanita itu dan kekasihnya itu untuk membantu siasatan.
“Kita turut merampas pisau dan batang besi yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan tersebut.
“Permohonan reman terhadap semua suspek akan dibuat di Mahkamah Ayer Keroh, pagi ini,” katanya.
Christopher turut mengingatkan masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden ini kerana Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang cuba menggugat keharmonian rakyat negara ini.