Kanak-kanak perempuan melecur main bunga api meninggal dunia
PENDANG – Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang dimasukkan ke hospital pada 12 April lalu akibat melecur bermain bunga api di Kampung Senara, Kubur Panjang, di sini meninggal dunia, Jumaat lalu.
Jenazah Nur Zatil Hidayah dikebumikan Sabtu lalu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Senara sebaik sahaja selesai proses bedah siasat.
Ibunya, Siti Aisyah Hasan, 33, berkata, anaknya meninggal dunia pada jam 7 malam selepas mendapatkan rawatan selama 26 hari di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
“Saya agak terkilan kerana anak tidak sempat memakai baju raya yang dia teringin sangat nak pakai.
“Kelengkapan raya semua dah siap, kasut raya, beg raya tapi dia tak sempat pakai,” katanya memetik laporan Awani.
Ujarnya, walaupun sedih dengan kehilangan anak ketiga daripada empat beradik itu tetapi mereka sekeluarga reda dengan ketentuan Allah SWT.
Bercerita lanjut, saat- saat akhir anak perempuan tunggalnya, Siti Aisyah berkata, anaknya menghembuskan nafas terakhir apabila kesihatan kembali merosot selepas mulai sedar dua hari sebelum itu.
“Pada petang Jumaat semasa berada di wad biasa dia mula tidak sedarkan diri dan doktor cuba sedaya-upaya memberi rawatan kepadanya.
“Kira-kira jam 7 malam doktor panggil waris untuk berjumpa dan kami dimaklumkan Nur Zatil Hidayah sudah meninggal dunia kerana serangan kuman pada organ dalamannya,” katanya.
Pada 14 April lalu, media melaporkan Nur Zatil Hidayah melecur kira-kira 46 peratus pada anggota badannya dipercayai akibat disambar api ketika bermain bunga api dan mercun bersama dua abangnya berusia tujuh dan 10 tahun di hadapan rumah mereka.
Ibu bapa kanak-kanak malang itu berada dalam rumah ketika kejadian dan berlari keluar selepas mendengar jeritan mangsa sebelum mendapati dua anak lelaki mereka sedang memadam api yang membakar tubuh mangsa.