Kerajaan akan cari penyelesaian ‘sekali dan untuk semua’
Berkenaan isu gaji minimum
PUTRAJAYA – Isu pelaksanaan gaji minimum dijangka akan dapat diselesaikan sepenuhnya pada Jun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu berkenaan akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet bulan depan bagi mendapatkan penyelesaian sekali dan untuk semua.
Beliau bagaimanapun berkata, pelaksanaan gaji minimum masih sukar dilaksanakan dan pelaksanaannya juga ‘hiruk-pikuk’.
“Sebab itu dalam mesyuarat Jemaah Menteri bulan depan kita nak selesaikan once and for all (sekali dan untuk semua),” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis sambutan Hari Pekerja 2023, di sini hari ini.
Untuk rekod, perintah gaji minimum dengan kadar RM1,500 sebulan berkuat kuasa 1 Mei tahun lepas bagi semua sektor tanpa mengira wilayah bagi majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih.
Bagi majikan yang menggajikan kurang lima pekerja, pelaksanaan gaji minimum ditangguhkan dari 1 Jan lepas kepada 1 Julai depan.
Anwar berkata kerajaan pimpinannya mengutamakan upah pekerja di Malaysia supaya dapat ditingkatkan.
“Saya tidak mahu majikan, pakar ekonomi atau menteri mempertikaikan (upah pekerja). Tanggungjawab kita adalah meningkatkan upah bagi pekerja swasta dan awam,” katanya.
Beliau menambah, ada syarikat mencatat keuntungan dan produktiviti meningkat tetapi upah pekerja itu tidak meningkat.
“Setiap pekerja yang memberi sumbangan harus diberi pengiktirafan tidak mengira jawatan dan pangkat,” katanya.