Politik

PN sasar menang 33 kerusi DUN Selangor

CYBERJAYA – Perikatan Nasional (PN) meletakkan sasaran menang di 33 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan selewat-lewatnya pada Julai tahun ini.

Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir (gambar) berkata, sekiranya sasaran itu dicapai, gabungan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mampu membentuk kerajaan baharu di negeri ini.

Kata Roslan, sasaran itu diletakkan berdasarkan sokongan pengundi terutama kaum Melayu kepada PN semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

“Malah, UMNO sendiri tiada kerusi Parlimen di Selangor (pada PRU15), jadi apabila kita sebut tentang pengundi Melayu di negeri ini, maka di situlah kekuatan kita (PN),” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Tambahnya, semasa PRU15 lalu, PN berjaya memenangi enam kerusi Parlimen termasuk di kubu kuat Barisan Nasional (BN) di Sabak Bernam dan Tanjong Karang.

“Tidak mustahil kita mampu memberi tentangan dan saingan sengit kepada PH kerana sasaran kita menang di 33 kerusi DUN yang mempunyai 60 peratus pengundi Melayu.

“Saya mengambil contoh, Pesuruhjaya Pas, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi menang di kerusi Parlimen Kuala Langat yang pengundi Melayu di situ sekitar 58.32 peratus sahaja,” katanya lagi.

Sehubungan itu, jika kecemerlangan dan sokongan itu diterjemah dalam PRN Selangor, beliau yakin kerajaan negeri di bawah pentadbiran PH mampu ditewaskan di Selangor.

“Kita tengok sentimen di bawah sehingga hari ini masih konsisten dan sokongan pengundi Melayu tidak akan berubah,” tambahnya.

Show More

Related Articles

Back to top button