Politik

Tiada pemilihan ‘top 2’ UMNO: RoS sedang adakan siasatan terperinci

PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sedang dalam proses semakan dan siasatan terperinci berkaitan aduan mengenai Pelanggaran Perlembagaan UMNO semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2022).

Ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus, Aizat Fikri Nasir berkata, maklumat itu diperoleh selepas menerima surat maklum balas daripada RoS bertarikh 26 Januari lalu.

“Dalam surat berkenaan, RoS telah menyatakan pihak mereka sedang dalam proses semakan dan siasatan terperinci berkaitan aduan saya.

“Saya menganggap kenyataan Setiausaha Agung (SUA) UMNO yang menggambarkan perkara berkenaan seolah-olah selesai adalah ‘premature’ (tidak matang).

“Saya berharap SUA UMNO tidak mendahului pihak RoS dalam membuat keputusan dan tidak mencampuri siasatan yang sedang dijalankan RoS. Ini boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi yang menjaga tatakelola pertubuhan di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini sekumpulan ahli UMNO menghantar aduan kepada RoS berhubung keputusan PAU 2022 yang bersetuju untuk tidak mempertandingkan dua jawatan utama UMNO dalam pemilihan akan datang.

Dalam pada itu Aizat berkata, pihaknya juga berharap RoS dapat memanggil mereka yang berada di dalam Dewan Merdeka untuk mendapatkan gambaran yang jelas dan adil.

“Saya percaya RoS akan menjalankan siasatan yang eksplisit dengan memanggil perwakilan-perwakilan yang berada di Dewan Merdeka termasuklah Ahli-Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO bagi mendapatkan gambaran yang jelas dan adil.

“Dalam perbincangan bersama tempoh hari, RoS juga memaklumkan mereka sendiri akan mendapatkan nasihat dan panduan daripada penasihat undang-undang kementerian.

“Bagi saya hal ini jauh dari selesai, semoga kebenaran akan tertegak jua,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button