Pas Selangor tidak senaraikan Shahidan sebagai calon PRN
CYBERJAYA – Nama Datuk Seri Shahidan Kassim tidak termasuk dalam senarai pendek calon Pas Selangor bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) nanti.
Setiausaha PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, calon yang akan bertanding nanti sudah dikenal pasti dan merupakan anak jati Selangor.
“Setakat ini, calon yang disenarai pendek PAS Selangor adalah dalam kalangan anak jati negeri ini sahaja. Tiada perbincangan untuk meletakkan Shahidan,” kata Roslan Shahir kepada Mingguan Malaysia, hari ini.
Beliau menambah, setakat ini, tiada perbincangan di peringkat negeri untuk meletakkan Shahidan sebagai calon PAS di mana-mana kerusi DUN Selangor.
“Bagaimanapun, pada peringkat pusat, kami tidak tahu jika ada cadangan untuk meletakkan beliau (Shahidan) sebagai calon di mana-mana kerusi DUN bagi PRN akan datang,” jelasnya.
Roslan berkata, berdasarkan kenyataan bekas menteri Wilayah Persekutuan itu, Shahidan hanya menawarkan diri untuk bertanding pada PRN jika diperlukan, bukannya mengumumkan akan bertanding.
“Beliau hanya menawarkan diri untuk diletakkan sebagai calon, tetapi jika (PAS) pusat berpandangan bahawa Shahidan boleh membantu menawan Selangor, kami tiada masalah untuk beri sokongan,” katanya lagi.
Shahidan yang namanya digugurkan daripada senarai calon Barisan Nasional (BN) pada PRU15 membuat kejutan apabila bertanding atas tiket PAS di Parlimen Arau.
Semalam, ahli politik veteran itu sekali lagi membuat kejutan apabila menzahirkan hasrat bertanding pada PRN Selangor, dikhabarkan sebagai calon DUN Semenyih.
Dalam pada itu, Roslan turut memaklumkan bahawa pembahagian kerusi DUN di Selangor antara PAS, Bersatu dan Gerakan sudah hampir selesai.
“Ada dua atau tiga kerusi belum dimuktamadkan. Kami bersepakat menyerahkan keputusan kepada PAS pusat untuk menyelesaikannya,” katanya.
“Apabila pembahagian kerusi selesai, barulah proses memperkenalkan calon dibuat setelah senarai calon mendapat ‘green light’ daripada kepimpinan tertinggi,” tambahnya lagi.