Berita Semasa

TH umum agihan keuntungan 3.1 peratus

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan pada kadar 3.10 peratus bagi tahun kewangan 2022 selepas pembayaran zakat sebanyak 2.57 peratus.

Agihan itu membabitkan jumlah agihan sebanyak RM2.65 bilion yang memberi manfaat kepada lebih 8.7 pendeposit TH.

Pengumuman itu disempurnakan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Naim Mokhtar pada siding media pengumuman agihan keuntungan TH di Bangunan TH hari ini.

Katanya, pengiraan agihan keuntungan tahunan 2022 dibuat berdasarkan purata baki minimum bulanan yang disimpan sepanjang tahun, iaitu sebagaimana pengiraan tahun-tahun sebelum ini.

“Agihan Keuntungan itu adalah kompetitif mengambil kira antara lainnya kadar agihan bagi tahun 2022 adalah lebih tinggi daripada purata kadar deposit tetap perbankan Islam bagi tempoh 12 bulan, iaitu 2.34 peratus dan zakat telah dilunaskan bagi pihak pendeposit.

“Agihan Keuntungan 2022 adalah setelah TH melunaskan zakat sebanyak RM97 juta kepada semua Majlis Agama Islam Negeri bagi pihak pendeposit, menjadikan jumlah terkumpul sebanyak RM1.27 bilion sehingga kini,’’ katanya.

Datuk Mohd Naim Mokhtar (dua dari kiri) bersama Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar (kiri) serta Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin (dua dari kanan) pada sidang media pengumuman agihan keuntungan TH. Foto : Awani

Sementara itu, Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, pihaknya telah mengambil pendekatan pelaburan yang lebih berhati-hati berlandaskan alokasi aset strategik untuk menghadapi persekitaran yang tidak menentu sepanjang tahun kewangan itu.

“Alhamdulillah, usaha ini telah membantu dalam penjanaan hasil bagi memastikan kadar agihan yang berpatutan bagi tahun kewangan 2022,” katanya.

Menurut TH, para pendeposit boleh menyemak Agihan Keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing bermula pukul 12 tengah hari, esok (Sabtu, 29 April 2023) menerusi platform THiJARI, kaunter TH, kaunter Bank Islam dan Bank Rakyat dan saluran elektronik bank rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic.

Urusniaga TH akan ditangguhkan sementara waktu bermula jam 8 malam, Jumaat, 28 April 2023 sehingga jam 12 tengah hari, Sabtu, 29 April 2023, bagi melancarkan urusan pengkreditan Agihan Keuntungan.

Show More

Related Articles

Back to top button