Jenayah & Mahkamah

Maritim Malaysia lakukan rampasan RM13 juta melalui Op Pagar Laut

GEORGETOWN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya melakukan rampasan bernilai RM13 juta menerusi 42 tangkapan pada Op Pagar Laut yang dilaksanakan bermula 9 hingga 25 April lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata 12 daripada 42 tangkapan itu merupakan kes berprofil tinggi.

Katanya, kes berprofil tinggi tersebut membabitkan tiga kes tangkapan cubaan menyeludup masuk rokok, dua kes cubaan kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), satu kes cubaan mencuri, satu kes cubaan rompakan berkumpulan, tiga kes pencerobohan Bot Nelayan Asing (BNA) dan dua kes kesalahan menyeludup petrol dan minyak masak.

Tambah Saifuddin, pihak Maritim Negeri Johor juga telah berjaya menumpaskan kes rompakan bersenjata melibatkan empat orang warganegara tempatan di Pelantar Aurora Producer 1 di Tanjung Langsat, Johor pada 24 April lalu.

“Kesemua Orang Kena Tuduh (OKT) disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana merompak secara berkumpulan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Lawatan Kerja dan Penyampaian Bingkisan Raya kepada pegawai dan anggota Maritim Malaysia yang bertugas sempena Op Pagar Laut di Kapal Maritim (KM) Burau di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Logistik), memangku tugas Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Hamid Mohd Amin.

Dalam pada itu, Saifuddin turut menegaskan kejayaan Op Pagar Laut ini adalah usaha berterusan Maritim Malaysia memperketatkan lagi kawalan maritim negara terutamanya di sempadan Malaysia dan Thailand serta Indonesia.

“Melalui tindakan berterusan seperti ini beliau berharap Maritim Malaysia akan dapat mengurangkan sekaligus menghentikan aktiviti jenayah seperti penyeludupan PATI serta penyeludupan barangan kontraband, pencerobohan Bot Nelayan Asing (BNA) dan banyak lagi,” jelasnya.

Show More

Related Articles

Back to top button