Muhyiddin tawar KJ bertanding dalam PRN, dengan syarat sertai Bersatu
KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin ditawarkan untuk bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang dengan syarat bekas pemimpin UMNO itu menyertai Bersatu.
Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris, berkata tawaran itu dibuat ketika Khairy berkunjung ke rumah Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas dipecat daripada UMNO.
“Dalam pertemuan itu, Muhyiddin menawarkan kepada Khairy untuk bertanding atas tiket Bersatu dalam PRN jika beliau masih berminat dalam politik.
“Bagaimanapun, terdapat beberapa syarat ditetapkan antaranya beliau perlu menghantar borang sebagai ahli Bersatu terlebih dahulu dan kerusi yang ditandinginya akan ditentukan oleh pucuk pimpinan Perikatan Nasional (PN),” katanya yang dipetik oleh Utusan Malaysia, hari ini.
Bagaimanapun katanya, Khairy masih belum menjawab tawaran Pengerusi PN itu dan meminta sedikit masa untuk membuat keputusan.
Razali, yang juga pengerusi Bersatu Terengganu, berkata dia secara pribadi mengalu-alukan dan terbuka menerima Khairy sebagai ahli Bersatu berdasarkan reputasi bekas menteri itu dalam politik.
“Bagaimanapun, KJ perlu akur dengan keputusan parti untuk meletakkan beliau di mana, sama ada di Selangor atau Negeri Sembilan,” katanya.
Razali berkata Bersatu juga sedia membuka ‘pintu’ parti kepada mana-mana bekas pemimpin UMNO yang dikenakan tindakan jika mereka mampu memantapkan lagi parti tersebut.
“Seperti kita sedia maklum, ramai pemimpin UMNO yang dikenakan tindakan dipecat keahlian daripada parti berkenaan.“
“Jika mereka mampu memantapkan lagi Bersatu tiada salahnya untuk mereka sertai,” katanya.