Enam cedera, pacuan empat roda jatuh gaung
HULU SELANGOR – Tujuh individu termasuk lima kanak-kanak terselamat selepas kenderaan dinaiki terjatuh ke dalam gaung sedalam 10 meter di Rawang Bypass, Serendah menghala ke Kuala Lumpur, di sini, semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 3.58 petang.
Beliau berkata, sepasukan enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi.
“Menurut laporan awal, kejadian membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero Sport terjatuh ke dalam gaung.
“Enam individu cedera ringan dalam kemalangan itu iaitu pemandu lelaki berusia 30-an, dua kanak-kanak lelaki (empat dan lima tahun) dan tiga kanak-kanak perempuan (enam, lapan dan 12 tahun),” katanya kepada Berita Harian hari ini.
Morni berkata, tiga kanak-kanak perempuan itu bagaimanapun, berjaya dibawa keluar oleh orang awam sebelum anggota bertugas tiba manakala seorang lagi mangsa iaitu wanita berusia 30-an tidak cedera.