Berita Semasa

Laman sesawang Malaysia-Sulu Case tangkis tohmahan pihak yang membuat tuntutan

PUTRAJAYA – Kerajaan hari ini melancarkan laman sesawang Malaysia-Sulu Case yang mengandungi maklumat berkaitan sejarah serta perkembangan semasa mengenai tuntutan kumpulan Sulu ke atas wilayah negara ini.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, usaha tersebut dijalankan dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Kementerian Luar Negara, dan Kementerian Komunikasi dan Digital bagi memberikan fakta yang sahih, sekali gus menangkis tohmahan pihak yang membuat tuntutan berkenaan.

“Laman sesawang ini akan sentiasa diperkemas dan ditambah maklumat, dokumen dan pelbagai lagi dari semasa ke semasa selaras dengan perkembangan kes ini.

“Saya berharap warga media dan rakyat Malaysia khususnya akan mengakses serta mengikuti kes ini dengan teliti mengikut laman sesawang rasmi Malaysia kerana pelaporan dan sebaran maklumat yang tidak benar atau tidak tepat akan mempunyai kesan besar dan serius kepada kedaulatan dan keselamatan negara Malaysia,” katanya.

Kata Azalina lagi, rakyat negara ini serta masyarakat antarabangsa boleh mengikuti perkembangan kes berkenaan secara telus dan benar.

Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut, Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Kadir, dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Laman sesawang tersebut boleh diakses dalam lima bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Tagalog, Perancis dan Sepanyol.

Show More

Related Articles

Back to top button