Selepas isteri, suami pula maut akibat makan ikan buntal
JOHOR BAHRU – Akibat memakan hidangan ikan buntal, seorang lelaki warga emas maut selepas mendapatkan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) sejak 25 Mac lalu.
Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, lelaki berusia 84 tahun itu dirawat di ICU Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom (HEBHK), Kluang.
Menurutnya, pesakit dipindahkan ke Wad Perubatan pada 5 April, dalam keadaan sedar dengan tanda vital pesakit stabil, namun pesakit masih perlu bernafas dengan bantuan alat pernafasan dan diberi makanan melalui tiub.
“Pada 8 April (Sabtu) sekitar jam 5.20 pagi, pesakit telah dikesan dalam keadaan tidak responsif ketika jururawat sedang menguruskan pesakit lain.
“Bantuan kecemasan telah diberikan serta-merta dengan kehadiran Pegawai Perubatan selama 30 minit sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 6.20 pagi.
“Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) telahpun mengambil tindakan ketika pelaporan kes pertama diterima dengan menjalankan siasatan di lapangan, mengenal pasti pembekal, pemborong dan penjual yang terbabit di dalam urusniaga ikan buntal ini.
“Pejabat Kesihatan Daerah yang berkaitan juga telah membuka kertas siasatan di bawah Akta Makanan 1983,” katanya dalam kenyataan pada semalam.
Terdahulu, pada 28 Mac lalu, Isteri kepada lelaki warga emas berkenaan juga maut selepas memakan hidangan ikan buntal tersebut yang dikatakan dibeli secara dalam talian melalui aplikasi Facebook.
Sementara itu, ahli keluarga kepada pasangan berkenaan menuntut tindakan undang-undang yang tegas diambil kepada pihak menjual ikan berkenaan bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang.