Berita SemasaSukan

Demi imej negara, KBS belanja RM261,250 beli kanvas untuk SNBJ

KUALA LUMPUR – Pembelian kanvas berharga RM261,250 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) terpaksa dipercepatkan demi menjaga imej Kerajaan Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).

Menurut Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, langkah itu diambil selepas PSM terpaksa meminjam kanvas daripada pihak Johor Darul Takzim (JDT) melalui hasil kerjasama bersama pihak Stadium Larkin, Johor.

“Secara dasarnya, perancangan perolehan berkenaan pembelian kanvas adalah termasuk di dalam projek penukaran padang Stadium Nasional yang dijadualkan bermula pada 1 April 2023. Walau bagaimanapun, di bawah pentadbiran kerajaan baharu, pembelian kanvas telah dipercepatkan demi menjaga imej Kerajaan Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan dan Perbadanan Stadium Malaysia. Amanah negara sangat penting bagi kita,” katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Hannah berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Hisamudin Yahaya mengenai kos pembelian kanvas bagi melindungi padang ketika Kejohanan Piala AFF baru-baru ini.

Mengulas lanjut, katanya, PSM perlu meminjam kanvas daripada pihak Stadium Larkin disebabkan padang Stadium Nasional telah ditutup bermula 15 Jun 2022 untuk penganjuran acara sukan seperti bola sepak bagi kerja-kerja naik taraf dan penggantian rumput.

Katanya, namun atas dasar kepentingan negara, PSM telah membenarkan penganjuran perlawanan-perlawanan bolasepak peringkat nasional dan juga antarabangsa, dengan syarat kondisi padang sedia ada mendapat persetujuan dari pihak penganjur serta pasukan bolasepak yang terlibat.

Show More

Related Articles

Back to top button