KDN siasat penganjur program ‘Thai Hot Guy’
PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menyiasat penganjuran program ‘Thai Hot Guy’ yang dipercayai akan diadakan pada 30 Mac depan di ibu negara.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, program berkenaan dibimbangi akan mewujudkan keresahan terutamanya dalam kalangan umat Islam selain mencemar kemuliaan bulan Ramadan.
“Kita akan siasat kelulusan mana… memasuki ambang Ramadan sebaiknya seeloknya untuk acara seumpama itu tidak diteruskan kerana akan wujudkan keresahan kerana umat Islam seluruh dunia akan menyambut bulan suci,” katanya.
Tambahnya, penganjur program berkenaan akan disiasat sama ada memperoleh permit sah penganjuran program itu yang jelas melanggar akidah umat Islam.
“Kena ada mutual respect. Sebagai KDN akan cenderung menjadi kewajipan semua kita hayati memuliakan mengambil peluang atau saling hormat. Hal itu harus kita tgk atau penganjur akan mengusahakannya, “ katanya kepada pihak media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Warga KDN, di sini hari ini.
Penganjuran program ‘Thai Hot Guy’ mula menjadi tular di media sosial sejak semalam, dan difahamkan merupakan sebuah acara pertunjukan lelaki berpakaian seksi bersempena dengan pembukaan sebuah kelab di ibu negara.