Berita Semasa

Kor Kesihatan Diraja diaturgerak ke Turkiye – Menteri Pertahanan

PUTATAN – Sepasukan anggota Kor Kesihatan Diraja (KKD) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan berlepas ke Turkiye awal pagi nanti bagi membantu rakyat negara itu yang ditimpa bencana gempa bumi pada Isnin lalu.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini.

Kata Mohamad, penghantaran itu susulan daripada permohonan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) kepada ATM selepas rundingan dilakukan dengan kedutaan besar Turkiye di Kuala Lumpur.

“Tadi Panglima Tentera Darat telah beritahu saya pihak Turkiye dan juga Nadma memohon agar kita menghantar 60 orang pasukan mencari dan menyelamat (SAR) anggota kita untuk membantu mencari (mangsa),” katanya dalam sidang akhbar ketika lawatan kerjanya ke Kem Lok Kawi, di sini hari ini.

Pasukan tersebut yang membawa peralatan membina hospital medan akan diaturgerak dari Pangkalan Udara (PU) Subang pada pukul 2 pagi ini dengan menggunakan dua buah pesawat Airbus A400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Difahamkan, pasukan tersebut berkekuatan 106 anggota termasuk 41 orang doktor.

Mohamad bagaimanapun berkata, lokasi untuk pasukan itu ditempatkan belum diketahui lagi dan menyerahkan kepada pihak negara Turkiye mengikut kesesuaian dan keperluan mereka.

“Kita tidak tahu kerana kawasan yang terlibat itu terlampau luas maka kita serahkan kepada pihak negara Turkiye untuk meletakkan di mana kesesuaian anggota perubatan kita membina dan mengurus operasi hospital medan seperti mana yang pernah kita buat semasa Covid-19 melanda kita dulu sebagai hospital medan,” katanya.

Mohamad turut menjangkakan pasukan itu akan berada di negara itu selama enam minggu untuk beroperasi membantu mangsa yang terlibat.

“Mereka dijangka bertolak jam 2 pagi ini tetapi saya tidak dapat menghantarnya kerana masih di sini (Sabah).

“Kita mendoakan anggota kita menjalankan tugas mereka membantu dan merawat mangsa yang cedera serta ditimpa kemalangan turut dalam keadaan selamat dan sentiasa berhati-hati kerana gempa bumi ini biasanya akan ada lagi gegaran susulan,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button