Politik

Keputusan tiada pertandingan telah menyelamatkan parti – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Keputusan tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi UMNO disifatkan sebagai strategi penyelamat daripada berlakunya perpecahan dalam parti itu.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata, ketika banyak pihak mencampuri urusan dan mengkritik keputusan tersebut, langkah itu ternyata memberikan penyelesaian terbaik dan menguntungkan parti.

“Itu yang bagusnya kita tak laksanakan pertandingan jawatan tertinggi, sebab mahu elakkan berlakunya kem A atau B.

“Kita hanya harapkan ketika UMNO berada pada waktu sukar ini, ia tidak boleh dilihat sebagai parti yang berpecah belah.

“Sebab itu dari dulu seperti kata Presiden Parti (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) kita hanya ada satu kem saja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan persekolahan pada Program Amal Penyerahan Bantuan dan Sumbangan Persekolahan kepada anak yatim dan asnaf anjuran Pertubuhan Kebajikan Insaniah SRIKANDI di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Srikandi, Datuk Norashikin Abd Ghani.

Sebelum ini, UMNO dilihat terbahagi kepada dua kem yang menyokong dan menentang kepimpinan Presiden dan timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau juga mengulangi tindakan tatatertib terhadap beberapa pemimpin parti itu sebagai keputusan yang tidak bertujuan menafikan hak mereka untuk bertanding dalam pemilihan parti.

“Semua orang tahu, bagaimana anda boleh bercakap buruk tentang parti sendiri ketika dua tiga minggu sebelum pilihan raya umum?

“Ia seolah-olah menembak parti sendiri,” katanya mengulas isu penggantungan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan penyingkiran bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Sementara itu, Ahmad menggesa kepada kepimpinan UMNO yang menang dan kalah dalam pemilihan kali ini kembali bersatu dalam barisan untuk memperteguhkan parti.

“Saya syorkan supaya kepimpinan ini untuk terus mantapkan bahagian dan cawangan masing-masing, sebab kita tahu apabila adanya perlawanan di peringkat bahagian maka akan adalah pihak terguris hati,” katanya.

Sebanyak 180 anak yatim dan asnaf dari Projek Perumahan Rakyat Raya Permai Sungai Besi, Kuala Lumpur menerima bantuan yang disumbang oleh pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta.

Show More

Related Articles

Back to top button