Politik

Zahid sifatkan laporan polis Ketua Penerangan Bersatu tiada asas, bersifat politik

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyifatkan laporan polis yang dibuat terhadapnya dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berasas dan bersifat politik.

Menurut Ahmad Zahid, yang juga Presiden UMNO, perkara tersebut perlu diselesaikan secara ‘politik’ dengan tidak melibatkan pihak polis kerana laporan polis tidak akan menyelesaikan masalah tersebut.

“Saya belum berbincang dengan Perdana Menteri kerana kami berdua telah di dilaporkan untuk aduan-aduan ini. Ini adalah aduan politik masalah politik harus di selesaikan cara politik aduan polis tidak menyelesaikan masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama Transformasi Program TVET antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta di Institut Latihan Perindustrian (ILP), di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, beliau juga bersedia untuk memberi kerjasama dan disiasat oleh pihak polis, selain mengatakan tindakan membuat laporan polis itu adalan kerana ketidakmampuan Bersatu untuk mempertahankan diri.

“Ertinya mereka tiada jalan penyelesaian lain, mereka mahu mempertahankan diri tapi mereka tiada kemampuan jadi mereka buat laporan polis jadi saya seorang yang sangat terbuka dan sedia disiasat oleh pihak polis kerana kita yakin apa yang diadakan oleh mereka itu tiada asas,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris membuat laporan polis terhadap Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid Hamidi berhubung fitnah serta dakwaan ke atas Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Razali mendakwa, Anwar dan Ahmad Zahid serta sekutu mereka cuba menjatuhkan kepemimpinan PN dan Bersatu bagi melumpuhkan kekuatan politik gabungan parti itu untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang.

Katanya, Anwar menyalahgunakan kuasanya selaku Perdana Menteri ke-10 dengan menekan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan ke atas kepemimpinan Bersatu.

Show More

Related Articles

Back to top button