Kos haji: TH, Kerajaan akan umumkan setelah kajian dilaksanakan
KUALA LUMPUR – Keputusan sama ada kos menunaikan haji pada tahun ini mengalami kenaikan atau tidak hanya akan diumumkan selepas satu kajian menyeluruh dilaksanakan.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mohd Nai’im Mokhtar berkata, kajian yang dilaksanakan bersama antara TH dengan kerajaan itu turut menilai beberapa faktor, sebelum kadar sebenar ditetapkan.
Beliau bagaimanapun berkata, peningkatan kos haji tidak dapat dielakkan kerana ia terdedah kepada faktor di luar kawalan TH termasuk kadar tukaran mata wang Ringgit Malaysia berbanding Saudi Riyal dan Dollar Amerika.
Selain itu, ia turut disumbangkan oleh kadar inflasi dan percukaian di Arab Saudi, projek pembesaran berterusan di Makkah dan Madinah yang menyebabkan banyak bangunan penginapan jemaah haji dirobohkan dan memberi tekanan kepada pasaran harga sewaan.
Di samping itu katanya, caj dikenakan pihak berkuasa Arab Saudi bagi pelbagai perkhidmatan yang disediakan untuk kebajikan dan keselesaan jemaah haji di Tanah Suci turut menjadi faktor kepada peningkatan kos haji.
Mohd Nai’im berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-BERA) yang meminta Perdana Menteri menyatakan apakah langkah serta bantuan disediakan kerajaan bagi menampung peningkatan mendadak kos untuk mengerjakan ibadah haji dan umrah yang mampu memberi kesan secara terus terhadap mereka yang beragama Islam.
Sebelum ini, kos menunaikan haji dijangka meningkat sehingga RM30,850 bagi setiap jemaah Muassasah berbanding RM28,632 seorang tahun lalu.
Mohd Nai’im berkata, TH akan meneruskan Bantuan Kewangan Haji bagi membantu jemaah Muassasah yang menunaikan haji buat pertama kali dan kurang pendapatan untuk mencukupkan perbelanjaan tunai haji mereka.
Bantuan tersebut bersesuaian dengan peranan TH dalam mentadbir semua urusan berkaitan pengendalian dan kebajikan jemaah haji Malaysia.
“Pada 2022, TH melaksanakan pemberian Bantuan Kewangan Haji secara bersasar mengikut kategori jemaah haji Muassasah dalam kumpulan B40 dan bukan kumpulan B40.
“Bantuan ini dibiayai sepenuhnya oleh TH melalui pendapatan pelaburannya,” katanya.