Banjir: Segamat menjadi daerah paling teruk terjejas, luruan monsun dijangka berterusan hingga lusa
CYBERJAYA – Daerah Segamat di Johor menjadi kawasan yang paling teruk terjejas akibat banjir kali apabila merekodkan sebanyak 13,358 mangsa daripada 3,921 keluarga yang ditempatkan di 77 pusat pemindahan sementara (PPS).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, secara keseluruhan, jumlah mangsa banjir di Johor melibatkan 9 daerah iaitu Batu Pahat, Johor Bahru, Kluang, Kota Tinggi, Mersing, Muar, Pontian, Segamat dan Tangkak.
Beliau berkata, seramai 37,198 orang daripada 10,746 keluarga yang berada di 238 PPS.
“Berdasarkan laporan di seluruh negara, sehingga pukul 6 pagi hari ini, bilangan negeri yang terkesan banjir adalah sebanyak 6 negeri melibatkan 21 daerah iaitu Johor (9 daerah), Pahang (6 daerah), Negeri Sembilan (2 daerah), Melaka (2 daerah), Sarawak (1 daerah) dan Selangor (1 daerah).
“Jumlah keseluruhan mangsa adalah seramai 40,648 orang daripada 11,776 keluarga direkodkan berada di 274 PPS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu beliau berkata, luruan monsun dijangka akan berterusan sehingga 6 Mac ini.
Beliau berkata, keadaan itu akan menyebabkan hujan berterusan dijangka berlaku di selatan Semenanjung manakala ribut petir di barat Sarawak dijangka berlaku pada petang hingga awal pagi sehingga 6 Mac ini.
Mengulas lanjut katanya, pihaknya juga telah dapat mengatasi beberapa isu yang timbul seperti kekangan dalam penghantaran bantuan makanan kerana jalan perhubungan yang terputus akses sehingga menyebabkan kesukaran petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ke lokasi berkenaan.
“Walaubagaimapun perkara ini telah dapat diatasi dengan bantuan segera oleh anggota penyelamat seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Kejadian banjir di negeri Johor kali ini dianggap antara yang terburuk selepas kejadian pada tahun 2006.
“Jumlah mangsa yang terlalu ramai menyebabkan masalah kekurangan beberapa keperluan di PPS seperti bantal dan selimut.
“Penghantaran bekalan tambahan telah pun dibuat oleh pihak JKM dengan penyelarasan bersama rakan-rakan NGO serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD),” katanya.
Sementara itu, katanya, NADMA juga telah membantu pihak JKM melaksanakan perolehan darurat bagi menambah keperluan-keperluan ini dan pada masa yang sama bantuan turut digerakkan daripada stok pengkalan hadapan negeri-negeri yang tidak terkesan banjir.