Politik

Pejuang mohon sertai PN

CYBERJAYA – Parti Pejuang sudah membuat permohonan untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) sebagai parti komponen.

Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, permohonan tersebut sudah dimaklumkan kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi sepucuk surat yang dihantar semalam.

“Keputusan untuk membuat permohonan ini telah disepaka oleh Majlis Eksekutif Pusat Pejuang dua hari lepas setelah penelitian dan penilaian khusus semua opsyen-opsyen gabungan atau kerjasama politik yang ada.

“Ini adalah sesuai dengan mandat yang kami peroleh dari Perhimpunan Agung Pejuang kali ke-2,” kata Mukhriz dalam kenyataan tersebut.

Beliau menambah, permohonan itu turut dibuat bagi memastikan tiada perpecahan undi Melayu pada pilihan raya.

“Penyertaan Pejuang sebagai anggota komponen PN adalah untuk memastikan tiada perpecahan undi Melayu dalam pilihan raya mendatang,” katanya lagi.

Beliau kemudiannya menambah, adalah tidak memadai jika kerjasama berbentuk pakatan pilihan raya semata-mata hanya untuk tujuan mengelak dari pertindihan kerusi ditandingi.

“Lebih menguntungkan semua pihak jika Pejuang menyertai PN, dan bertanding menggunakan lambang PN. Setentunya, ini bermakna kesepakatan Pejuang dengan PN itu tidak terhad hanya kepada PRN yang bakal berlangsung Jun 2023, tetapi juga untuk jangka masa panjang,” katanya.

Mukhriz menambah, surat permohonan yang dihantar kepada Muhyiddin yang juga presiden Bersatu, turut dihantar kepada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dan Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau.

Show More

Related Articles

Back to top button