Berita Semasa

Himpunan Selamatkan Syariah: Lebih 1,000 banjiri Istana Kehakiman

PUTRAJAYA – Menteri Besar Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud dan Timbalannya, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan menyertai solat hajat bersama lebih 1,000 orang sempena Himpunan Selamatkan Syariah di perkarangan Istana Kehakiman, di sini, pagi tadi.

Perhimpunan anjuran Perikatan Nasional (PN) itu adalah bagi membantah tindakan dua individu yang dikatakan telah mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Orang ramai dilihat mula berkumpul di perkarangan Tuanku Mizan Zainal Abidin Masjid sejak jam 7 pagi sebelum bergerak ke perkarangan Istana Kehakiman sambil melaungkan takbir ‘Allahuakbar’ dan ‘Selamatkan Negara’.

Perhimpunan aman itu dianjurkan bagi membantah petisyen seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman yang mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, sekali gus mahu mengisytiharkan peruntukan-peruntukan kesalahan dalam enakmen itu terbatal dan tidak sah.

Peruntukan itu termasuk Seksyen 11 (memusnahkan tempat ibadat), Seksyen 13 (menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya) dan Seksyen 14 (liwat).

Peruntukan lain termasuk Seksyen 15 (hukuman liwat), Seksyen 16 (seks dengan mayat), Seksyen 17 (seks dengan bukan manusia) dan Seksyen 31 (gangguan seksual).

Yang hadir sama, beberapa pemimpin utama PN antaranya, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin.

Selain itu, turut kelihatan Ahli Jawatankuasa (AJK) Kerja Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa dan Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button