Jambatan Bailey dibina bagi hubungkan kawasan terputus di Felda Selancar
KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, satu jambatan sementara akan dibina bagi menghubungkan kawasan yang terputus hubungan di Felda Selancar, Rompin, Pahang.
Beliau berkata, Jambatan Bailey itu akan siap dibina dalam tempoh 48 hingga 72 jam.
“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat saya telah mengarahkan Ketua Pengarah NADMA bagi menyediakan peruntukan dan saya telah menghubungi Panglima Tentera Darat untuk menghantar Kor Jurutera DiRaja Angkatan Tentera Darat ke tempat kejadian dan segera membina Jambatan Bailey (Bailey Bridge) bagi menghubungkan laluan jalan yang terputus dalam tempoh siap sekitar 48-72jam.
“Ini adalah langkah sementara bagi memastikan laluan ini dapat digunakan semula sebelum jalan baharu dibina oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) nanti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu beliau meninjau keadaan jalan yang terputus dan melihat keadaan banjir di sekitarnya.
Pagi tadi, ribuan penduduk di kawasan tersebut tersebut terjejas selapas jalan yang menghubungkan penduduk di sini untuk ke serata negeri Pahang dan Johor terputus akibat banjir susulan hujan lebat.
Sementara itu, beliau juga menasihatkan penduduk yang berada di kawasan-kawasan yang terdedah banjir untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi arahan daripada pihak berkuasa.