Kapal korek Sri Banting mampu jana hingga RM35 juta setahun menerusi pelancongan
CYBERJAYA – Pelaburan yang dibuat Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) bagi memperoleh kapal korek Sri Banting di Dengkil adalah bersifat strategik kerana ia dijangka mampu menjana pendapatan sehingga RM35 juta setahun.
Yang diPertua MPSepang, Datuk Abdul Hamid Hussain berkata, kapal korek yang berusia hampir 50 tahun itu akan menjadi tarikan utama ke sebuah kawasan pelancongan baharu yang dinamakan sebagai Muzium Perlombongan dan Kapal Korek.
“Kita mahu wujudkan satu ikon pelancongan di daerah Dengkil, jadi kapal korek ini amat sesuai dibaik pulih dan dibangunkan semula sebagai tarikan kepada pelancong dalam dan luar negara,” kata Abdul Hamid.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang akhbar selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Perbandaran, di sini hari ini.
Untuk rekod, kapal korek Sri Banting mula beroperasi sejak tahun 1974.
Kapal tersebut dikuasakan sepenuhnya oleh tenaga elektrik dan dianggap antara yang terbesar di dunia dengan berat melebihi 6,000 tan.
Abdul Hamid kemudiannya menambah, pihak MPSepang kini sedang dalam proses mendapatkan pakar yang berkenaan bagi membantu proses bailpulih dan menaik taraf kapal korek tersebut sebagai sebuah ‘live museum’.
“Kita juga sedang berusaha mendapatkan pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) supaya kapal korek ini diisytiharkan sebagai warisan sejarah,” kata Abdul Hamid lagi.
Ketika ini, hanya terdapat dua buah kapal korek yang masih utuh di dalam negara, dengan sebuah lagi yang dikenali sebagai TT5 berada di Tanjung Tualang, Perak.
TT5 didermakan kepada Kerajaan Negeri Perak dan kini dijadikan sebagai sebuah muzium.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai insiden kebakaran di Kondominium Skypark di sini, Abdul Hamid berkata beliau belum menerima sebarang laporan daripada pihak berkuasa.