100 gerai akan perkenal Menu Rahmah di sepanjang R&R lebuhraya PLUS
DENGKIL – Kementerian Kerja Raya dengan kerjasama Plus Malaysia Berhad (PLUS) menyasarkan lebih 100 gerai makanan yang beroperasi di kawasan rehat dan rawat (R&R) akan menawarkan Menu Rahmah menjelang Mac ini.
Menurut menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, gerai-gerai tersebut merangkumi laluan di sepanjang 1,130 kilometer (km) di rangkaian lebuh raya kendalian PLUS.
Katanya, fasa pertama Menu Rahmah diperkenalkan untuk pengguna lebuh raya berkenaan sejak 23 Februari lalu di beberapa R&R serta Hentian Sebelah di wilayah Tengah Lebuh Raya PLUS.
“Bagi fasa kedua, dijangka akan dilaksanakan sebelum 2 Mac dan manakakla fasa ketiga yang melibatkan wilayah Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) sebelum 9 Mac,” jelasnya.
Alexander berkata demikian selepas pelancaran pelaksanaan Menu Rahmah di medan selera pusat Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil Lebuhraya ELITE (Arah Selatan) di sini hari ini.
Yang hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Tambah Alexander lagi, setakat ini 215 gerai menawarkan menu tersebut di sepanjang lebuh raya di seluruh negara dengan 101 gerai di sepanjang lebuh raya PLUS.
Dalam perkembangan lain, Alexander berkata laporan inisiden tanah runtuh Batang Kali yang telah meragut lapan nyawa pada Disember tahun lalu akan disiapkan dalam masa terdekat.
Katanya, laporan berkenaan perlu melalui penilaian yang komprehensif dan mendapat saranan serta pendapat dari pelbagai kementerian sebelum dibentangkan.
“Laporan tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat, kerana laporan tersebut perlu mengambil aspek teknikal yang perlu penglibatan pelbagai kementerian seperti Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Alam Sekitar,” jelasnya lagi.