Pemerolehan kamera badan penguat kuasa di peringkat akhir – KDN
PADANG BESAR – Pemerolehan kamera badan (body cam) yang akan digunakan oleh anggota serta petugas agensi penguatkuasaa akan dimuktamadkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam masa terdekat.
Menurut menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pihak kementerian kini dalam peringkat akhir bagi memuktamadkan pihak kontraktor yang akan mengendalikan pemerolehan aset tersebut.
“Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada umumkan (dalam pembentangan Belanjawan 2023) untuk penambahan 2,100 lagi unit kamera badan di mana sebelum ini kami sudah pun ada bajet sebesar RM30 juta untuk pemerolehan ini.
“Iklan pun sudah dikeluarkan (mencari kontraktor menyelia) untuk pemerolehan kamera badan ini dan ia sekarang berada dalam peringkat akhir penelitian,” ujarnya memetik laporan Berita Harian.
Ditanya mengenai bila penggunaan kamera badan itu akan dilaksanakan, beliau berkata, tiada jangka masa tertentu ditetapkan untuk perkara itu.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, penggunaan kamera badan tersebut penting dalam membantu meningkatkan pelbagai aspek penugasan agensi penguatkuasa.
Katanya agensi penguatkuasa tersebut termasuklah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan petugas lain di bawah KDN seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Penjara Malaysia.
“Penggunaan kamera badan ini mampu meningkatkan integriti perkhidmatan, malah ia akan menjadi sumber bahan bukti kepada anggota polis dan petugas agensi keselamatan lain.
“Selain itu, penggunaannya juga dapat mengawal manipulasi, meningkatkan kepercayaan orang ramai terhadap setiap penugasan anggota ini. Malah, agensi penguat kuasa itu sendiri berasa lebih yakin dalam melaksanakan tugas secara profesional, jadi banyak faedahnya,” katanya lagi.
Terdahulu, Saifuddin yang ditemani Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad meninjau status pembinaan laluan pejalan kaki menghubungkan Stesen Kereta Api Padang Besar dengan Kompleks ICQS Padang Besar di sini, hari ini.