Jenayah & Mahkamah

‘Kampung PATI’ di Cyberjaya dirobohkan

SEPANG – Kawasan penempatan haram warga asing seluas kira-kira 4 ekar yang terletak kurang dari tiga kilometer dari pejabat Majlis Perbandaran Sepang (MPS) di sini dirobohkan pihak berkuasa tempatan itu hari ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, tindakan meroboh dan membersihkan penempatan yang mempunyai 110 lot kediaman itu dilakukan susulan serbuan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada 20 haribulan lalu.

Operasi yang bermula pada pukul 9.30 pagi itu disertai oleh 80 anggota MPS, 10 pegawai Pejabat Daerah dan Tanah Sepang, 5 pegawai JIM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Abd Hamid berkata, penempatan PATI warga Indonesia itu dipercayai telah wujud sejak lebih 7 tahun namun tidak dapat dikesan pihaknya kerana kedudukan yang terselindung dari laluan utama.

“Memang lokasinya tidak begitu jauh (dari MPS) tapi ia terlindung jauh ke dalam dan agak sukar dimasuki. Pihak kami tidak pernah dimaklumkan mengenai kewujudan penempatan ini.

“Namun kita (MPS) bersama Pejabat Daerah dan Tanah Sepang mempunyai tanggungjawab bersama ke atas tanah kerajaan yang masih belum diwartakan ini.

“Tindakan meroboh penempatan ini dibuat selepas serbuan JIM baru-baru ini dan kami percaya ada beberapa lagi penempatan lain di sekitar daerah ini,” katanya kepada pemberita di lokasi di sini hari ini.

Abd Hamid berkata, pihaknya percaya kawasan tersebut mula dijadikan penempatan pekerja warga Indonesia selepas projek pembinaan lebuh raya di situ terbengkalai.

“Kita percaya mereka mula tinggal di sini selepas projek MEX 2 di sini terbengkalai dan mereka mula meneroka kawasan yang terpencil ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Abd Hamid berkata, MPS kini dalam proses terakhir mewartakan kawasan tersebut sebagai kawasan kegunaan orang ramai untuk mengelak ia menjadi tempat risiko jenayah atau dijadikan penempatan haram di masa akan datang.

Dalam serbuan oleh JIM sebelum ini, seramai 55 orang PATI warga Indonesia berusia lingkungan 16 hingga 70 tahun berjaya diberkas di penempatan itu.

Kira-kira 40 warga asing dipercayai tanpa dokumen berjaya melarikan diri semasa serbuan awal pagi itu.

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button