Kerajaan selindung dendam kesumat di sebalik Malaysia Madani
BANGI – Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman menyelar Kerajaan Perpaduan sebagai kerajaan yang penuh dengan dendam kesumat yang berselindung di sebalik slogan Kerajaan Madani.
Beliau berkata, slogan itu hanyalah retorik politik yang indah dibibir namun penuh dengan dendam yang mahu menghancurkan Perikatan Nasional (PN) selepas parti itu mendapat sokongan besar dalam Pilihan Raya Umum ke 15 yang lalu.
Bahkan Dr. Muhammad Faiz berkata, kerajaan gabungan Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN) itu kini tidak lagi mengutamakan masalah rakyat sebaliknya gigih dengan usaha melemahkan gabungan PN.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pertuduhan terhadap Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan seorang pemimpin Bersatu bahagian.
Dr Muhammad Faiz juga menyifatkan pertuduhan dikenakan ke atas Wan Saiful bermotifkan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang, tidak lama lagi.
“Antara asas penubuhan Bersatu adalah menentang rasuah dan salah guna kuasa tanpa melibatkan campur tangan atau tekanan ke atas mana-mana agensi penguat kuasa kerajaan, apatah lagi sistem kehakiman negara.
“Namun umum tahu bahawa ketika kempen PRU lalu, Rafizi Ramli Menteri Ekonomi kerajaan luar tabie sekarang membuat kenyataan berbaur ugutan kononnya beliau mahu “mencari” Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki jika PH berjaya mentadbir negara.
“Persoalannya adakah beliau telah menemui Tan Sri Azam?,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhammad Faiz juga menyelar kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sehingga kini seperti ketandusan idea untuk memulihkan ekonomi negara.
Lebih ironi katanya, Anwar secara terbuka sanggup melanggar prinsip menentang nepotisme apabila melantik anak perempuannya sebagai Penasihat Ekonomi, memegang jawatan Menteri Kewangan dan tidak meletakkan SPRM di bawah seliaan Parlimen.
“Justeru, ramai rakyat di luar sana melihat slogan Kerajaan Madani itu sebagai retorik yang hanya indah di bibir namun penuh dendam kesumat untuk membenamkan pihak lawan yakni PN yang telah bertekad untuk menjadi pembangkang yang professional demi proses semak imbang dalam negara.
“Tidak keterlaluan saya katakan kerajaan hari ini telah hilang fokus utama untuk mendahulukan permasalahan rakyat apabila menumpukan perhatian bagi melumpuhkan PN supaya UMNO-DAP dapat berkuasa secara diktator serta zalim,” katanya.