Berita Semasa

Semak status sekatan perjalanan sebelum rancang ke luar negara – LHDN

KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) mengingatkan semua pembayar cukai agar membuat semakan status sekatan perjalanan terlebih dahulu sebelum merancang untuk ke luar negara.

LHDN dalam satu kenyataan hari ini berkata, pemakluman tindakan tersebut akan dibuat ke alamat terakhir yang dikemaskini oleh pembayar cukai kepada LHDN melalui data percukaian terkini yang direkodkan.

Katanya, pembayar cukai yang dikenakan sekatan perlu melakukan bayaran atau menghubungi pejabat LHDN yang mengendalikan fail cukai mereka untuk tujuan rundingan bayaran ansuran bagi membolehkan mereka meneruskan perjalanan ke luar negara.

“Merujuk kepada Seksyen 104 dan 75A Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967), dan Seksyen 22 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976 (ACKHT 1976), LHDN diberi kuasa untuk menghalang mana-mana individu daripada meninggalkan Malaysia jika mereka atau syarikat mereka mempunyai tunggakan cukai yang tidak dijelaskan kepada kerajaan,” katanya.

Pembayar cukai boleh membuat semakan status tunggakan cukai mereka melalui portal MyTax , manakala semakan sekatan perjalanan boleh dibuat di laman web Jabatan Imigresen Malaysia.

Show More

Related Articles

Back to top button