Muhyiddin antara suspek siasatan Jana Wibawa – SPRM
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin antara suspek yang disiasat bagi projek Jana Wibawa.
Menurut sumber, dalam siasatan SPRM, Muhyiddin adalah suspek siasatan ketika beliau dipanggil memberi keterangan di SPRM.
Katanya, selaku suspek, Muhyiddin, tidak sepatutnya memberi ulasan berunsur spekulasi kerana perkara itu boleh mengganggu siasatan SPRM.
Ketika ini, siasatan juga sedang dijalankan terhadap beberapa individu termasuk bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
“Tengku Zafrul juga akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam masa terdekat,” kata sumber memetik laporan Berita Harian.
Semalam Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), memaklumkan SPRM memanggil beliau untuk memberi kenyataan, bukan sebagai suspek dalam projek Jana Wibawa.
Menurutnya, beliau memberikan kerjasama yang baik ketika memberi kenyataan dan SPRM juga menjalankan tugas mereka dengan baik.
Begitupun, beliau menegaskan pasukan peguamnya sedang meneliti tindakan undang-undang terhadap beberapa tuduhan yang dilemparkan kepadanya.
Muhyiddin dilaporkan berkata, keterangan diberi adalah berkait penganugerahan kepada kontraktor dipilih bawah projek berkenaan, yang didakwa pihak tertentu bahawa berkemungkinan wujud tatacara perolehan tidak mengikut peraturan ditetapkan.