Berita Semasa

JBPM sedia tukar anggota, aset di Turkiye sekiranya diperlukan

PUTRAJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sentiasa bersedia melakukan pertukaran pasukan misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di Turkiye sekiranya diperlukan.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, kesediaan itu tidak terhad kepada pertukaran anggota, tetapi juga aset lain termasuk khidmat anjing pengesan (K9).

“Kita tunggu (arahan) sekiranya ada pertukaran bagi memastikan misi SAR lancar.

“Sudah pasti ada arahan, susulan tinjauan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang kini berada di Gaziantep bertemu anggota penyelamat,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Istiadat Pemakaian Tanda Pangkat Ketua Pengarah JBPM di Ibu Pejabat JBPM, di sini hari ini.

Abdul Wahab yang memulakan tugas secara rasmi sebagai Ketua Pengarah hari ini berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi perkhidmatan anggotanya dan K9 dalam misi berkenaan.

“Kita sentiasa mengikuti perkembangan pasukan kita di sana (Turkiye). Setiap malam kita dapat laporan melalui panggilan video, Alhamdulillah semua anggota dan anjing K9 sihat dan dapat menjalankan tugas dengan baik,” katanya.

Sehingga kini, 36 anggota JBPM dan dua K9, Denti dan Frankie, menyertai misi SAR di Turkiye bersama anggota penyelamat lain yang terdiri daripada Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Show More

Related Articles

Back to top button