Jenayah & Mahkamah

Polis berjaya tahan suspek utama kes jumpa mayat dalam tasik

CYBERJAYA – Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan suspek utama kes bunuh susulan penemuan satu mayat dalam tasik berhampiran Masjid Raja Haji Fisabilillah, di sini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, suspek yang berusia 23 tahun itu ditahan di Puchong, malam tadi.

“Suspek bersama seorang lagi lelaki ditahan di hadapan sebuah rumah TNB di Kampung Sri Aman, pada kira-kira pukul 8 malam tadi,” kata Wan Azran dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Susulan siasatan awal, suspek membuat pengakuan membunuh si mati.

“Berikutan itu, suspek kemudiannya membawa anggota kami ke sebuah ladang lembu di bawah jambatan Lebuh Raya Lingkaran Putrajaya-Cyberjaya, di mana penggeledahan oleh anggota berjaya menemukan sebilah parang berukuran 2.4 kaki.

“Suspek kemudiannya membawa anggota ke lokasi seterusnya di sebuah rumah di Taman Puchong Prima di mana kami berjaya merampas sehelai seluar berwarna hijau dengan kesan darah,” jelas Wan Kamarul.

“Turut ditahan di lokasi kedua, seorang lelaki dipercayai rakan sekerja suspek utama pembunuhan,” kata Wan Kamarul lagi.

Menjelaskan lanjut, Wan Kamarul berkata, suspek dan si mati merupakan rakan serumah dan motif pembunuhan adalah akibat cinta tiga segi.

Kesemua yang ditahan termasuk suspek direman selama tujuh hari hingga 19 Feb, dan kes disiasat mengikut Akta 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Malam kelmarin, pihak polis menemukan satu mayat lelaki dengan lima kesan tetakan di bahagian kepala dan pergelangan tangan kiri hampir putus terapung di dalam tasik di belakang masjid berkenaan.

Turut ditemukan di lokasi kejadian, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang terjunam ke dalam tasik.

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button