Isu video rasis: BAM akan hantar bantahan kepada Persatuan Badminton China (CBA)
CYBERJAYA – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengecam tindakan individu yang menjadi jurulatih badminton di China kerana mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman seperti yang menjadi tular di media sosial, baru-baru ini.
BAM berkata, pihaknya sama sekali tidak akan membenarkan individu sedemikian menjadi jurulatih di Malaysia, dan seterusnya akan menghantar bantahan kepada majikan individu tersebut iaitu Persatuan Badminton China (CBA).
“BAM mengecam tindakan individu itu yang kini bertugas sebagai seorang jurulatih di China.
“Kami akan mengambil tindakan selanjutnya dengan menghantar bantahan kepada CBA,” kata BAM dalam satu kenyataan yang dikongsikan di akaun Twitter milik persatuan tersebut, hari ini.
Kata BAM, pihaknya mengutuk sebarang bentuk diskriminasi dan akan menggesa CBA untuk mengambil tindakan sewajarnya ke atas individu tersebut.
“Individu yang mengamalkan sebarang bentuk (diskriminasi) perkauman tidak sepatutnya diambil bekerja sebagai jurulatih satu sukan yang diminati oleh jutaan manusia di seluruh dunia,” kata BAM lagi.
Terdahulu, laporan media mengenal pasti individu dalam video tersebut sebagai bekas pemain badminton negara, Bong Guang Yik.
Di dalam video yang menjadi tular tersebut, Guang Yik mendakwa pengurusan BAM menjadi teruk disebabkan diuruskan oleh kaum Melayu yang dianggapnya sebagai pemalas.
Dia yang bercakap dalam bahasa Cina turut mendakwa, ibadah solat yang dilakukan oleh umat Islam selama lima kali sehari menunjukkan kaum itu tidak mempunyai niat untuk menguruskan BAM.