Politik

Tuduhan terlibat dalam pemberian kontrak NIISe kepada syarikat IRIS berniat jahat – Muhyiddin

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang mendakwa kononnya beliau terlibat dalam pemberian kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) kepada syarikat IRIS Corporation Berhad yang dikaitkan dengan menantunya.

Presiden Bersatu itu berkata, tuduhan itu merupakan satu fitnah jahat yang sengaja direka untuk mencalar maruah dan keluarganya.

“Saya sebagai Perdana Menteri pada masa itu sama sekali tidak terlibat dalam proses penganugerahan kontrak NIISe kepada IRIS Corporation Berhad yang dijalankan secara tender terbuka.

“Proses perolehan kontrak dibuat mengikut tatacara perolehan biasa kerajaan di bawah seliaan Kementerian Kewangan dan kementerian yang berkaitan. Ia bukan berada di bawah tanggungjawab atau bidang kuasa saya sebagai Perdana Menteri pada waktu itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam portal Free Malaysia Today mendakwa Muhyiddin terlibat dalam pemberian kontrak NIISe kepada syarikat IRIS Corporation Berhad yang dikaitkan dengan menantunya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, tiada mana-mana ahli keluarganya yang mempunyai kepentingan dalam IRIS Corporation Berhad samada sebagai pengarah syarikat atau pemegang saham.

“Bagaimana saya yang tidak mempunyai bidang kuasa dalam penganugerahan kontrak dan keluarga saya yang tidak ada sebarang kepentingan dalam syarikat yang dianugerahkan kontrak, ditohmah menyalahgunakan kuasa demi kepentingan diri dan keluarga?

“Saya percaya ini adalah sebahagian daripada siri tohmahan jahat terhadap saya yang dilakukan oleh kerajaan PH-BN pimpinan Anwar Ibrahim.

“Tohmahan ini sengaja dibuat untuk menutup kepincangan melampau Perdana Menteri dan anggota kerajaannya melantik anak beranak dalam kerajaan termasuk dengan tanggungjawab dan kuasa untuk mengurus kontrak kerajaan. Amalan nepotisme ini tidak boleh ditutup dengan melemparkan tohmahan tidak berasas kepada orang lain,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button