Luar Negara

Bekas penyerang Chelsea, Christian Atsu masih hilang selepas gempa bumi kuat melanda Turkiye

HATAY – Bekas penyerang Chelsea yang terlibat dalam tragedi gempa bumi di selatan Turkiye, Christian Atsu dilaporkan masih belum ditemui.

Pemain tengah pasukan kebangsaan Ghana itu yang kini bermain dengan kelab Turkiye, Hatayspor yang berpangkalan di wilayah selatan, Hatay berdekatan pusat gempa itu.

Ejen Atsu, Nana Sachere berkata, sehingga kini pihaknya belum mendapat maklumat berkaitan Atsu.

“Kelab telah memberitahu semalam Atsu selamat dalam tragedi itu tapi sehingga kini kami belum tahu di mana dia berada. Seperti yang semua dapat bayangkan, keluarganya sedang risau dan bimbang sekarang tentang keselamatannya,” katanya.

Sementara itu memetik laporan Washington Post, pengurus pasukan Hatayspor, Volkan Demirel juga mengesahkan sehingga kini pihaknya belum mendapat maklumat berkaitan Atsu.

Pada Selasa, Persatuan Bolasepak Ghana (GFA) berkata Atsu “berjaya diselamatkan daripada runtuhan bangunan dan menerima rawatan” selepas gempa bumi dengan kekuatan 7.8 melanda Turkiye dan negara jiran, Syria pada awal pagi Isnin.

Atsu, 31, menghabiskan empat musim di Chelsea sebelum perpindahan kekal ke Newcastle pada 2017.

Dia menandatangani perjanjian pada September untuk beraksi di Super Lig Turkiye bersama Hatayspor.

Atsu menghabiskan lima musim di Newcastle, bermain lebih 100 perlawanan sebelum ke Arab Saudi pada 2021.

Dia beraksi kali terakhir daripada 60 penampilan antarabangsa buat Ghana pada September 2019.

Show More

Related Articles

Back to top button