Berita Semasa

Penantian 4 dekad rakyat Kedah miliki geran tanah sendiri berakhir

ALOR STAR – Penantian selama empat dekad penduduk di negeri ini yang masih belum mempunyai geran tanah walaupun telah lama memohon kini berakhir.

Menurut Ketua Pemuda PAS Kedah, Nurul Amin Hamid, hasrat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk memastikan semua pemohon yang telah lama memohon untuk diberi geran hak milik oleh kerajaan negeri juga sedikit demi sedikit telah tercapai.

Beliau berkata, ia juga selaras dengan hasrat Menteri Besar Kedah yang mahu sekurang-kurangnya rakyat negeri itu mempunyai sekeping geran tanah untuk diwariskan.

“Menurut Datuk Sanusi, jumlah keseluruhan tanah yang diluluskan adalah 9,106 tanah daripada 10,937 permohonan yang diterima bagi tahun 2015 hingga September 2022.

“Dalam tahun ini sahaja, sudah lebih 200 individu telah menerima geran hak milik tanah,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya sebagai rekod sebanyak 73 penduduk daerah Kubang Pasu dan 119 penduduk Baling telah menerima geran tersebut pada bulan lalu.

Katanya, pada bulan ini sahaja sebanyak 65 penduduk daerah Langkawi telah menerima geran tanah.

“Insya-Allah, dengan komitmen kerajaan negeri ini, tidak akan ada lagi penduduk di mana-mana bahagian dalam negeri Kedah yang berasal, membesar, berbudaya dan bergaul di bumi negeri itu yang tidak ada tanah untuk mendirikan rumah.

“Tidak kira sesiapa sahaja anak Kedah, mereka akan mendapat hak yang dijanjikan oleh undang-undang dan perlembagaan.

“Kini rakyat terutama peneroka tanah dapat mengusahakan tanah mereka dengan tenang untuk anak cucu akan datang,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button