Berita Semasa

Sarawak tidak hadapi masalah kekurangan guru yang kritikal – Fadhlina Sidek

NIBONG TEBAL – Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan masalah kekurangan guru di negeri Sarawak masih terkawal dan tidak kritikal.

Menurut Menterinya, Fadhlina Sidek, KPM mensasarkan masalah kekurangan guru di sesetengah sekolah di seluruh negara akan diselesaikan sebelum sesi persekolahan baharu yang dijadual bermula Mac ini.

Katanya, usaha itu antara langkah pihak kementerian yang diyakini dapat menyelesaikan masalah kekurangan guru yang sudah berlanjutan sekian lama.

“Isu itu (kekurangan guru) saya fikir ada sedikit (tetapi) bukan kritikal. Memang ada isu di Sarawak, jadi kita selesaikan dulu di Sarawak kerana itu persiapan kita dalam rangka lawatan saya di sana pada ketika itu.

“Memandangkan isu itu memang dibangkitkan dan ditanya, jadi saya jawab ketika itu dalam rangka lawatan di Sarawak dan untuk negeri-negeri lain memang kita melihat juga perkara terbabit.

“Sebelum pembukaan sekolah pada Mac ini Insya-Allah kita akan cuba atasi mana-mana negeri yang masih ada masalah kekurangan guru,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Nibong Tebal dan Pusat Khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri Jawi di sini, hari ini.

Semalam, Fadhlina dilaporkan berkata, KPM akan cuba mengisi 50 peratus daripada anggaran jumlah 3,000 kekurangan guru di Sarawak menjelang Mac ini sebagai langkah awal bagi menyelesaikan isu kekurangan guru di Sarawak.

Beliau turut menyatakan keyakinan penyelesaian mampu dicapai meskipun dasar nisbah 90:10 guru Sarawak dan guru bukan dari Sarawak masih digunakan di negeri itu.

Show More

Related Articles

Back to top button