Politik

PN sedia terima ahli UMNO dipecat, digantung

DUNGUN – Perikatan Nasional (PN) hari ini mengulangi tawaran untuk sedia menerima mana-mana ahli UMNO yang digantung atau dipecat parti itu.

Pengerusi PN Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata setakat ini PN masih belum menerima sebarang permohonan untuk menyertai parti itu dari ahli-ahli UMNO yang terbabit.

“Saya percaya mereka masih berkira-kira untuk mengatur langkah seterusnya…perkara baru sahaja berlaku malam tadi.

“Kita tunggulah daripada mereka sendiri, bagaimana langkah seterusnya,” katanya kepada pemberita hari ini ini.

Dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO semalam, beberapa pemimpin parti itu dikenakan tindakan disiplin termasuk dipecat dan digantung keahliannya.

Antara yang dipecat adalah bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan itu dibuat selepas pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan UMNO kerana kesalahan ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Terdahulu, Ahmad Samsuri, yang juga Menteri Besar Terengganu, merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembangunan D’Gate Sura Mall/Jeti oleh Artha Global dan Majlis Perbandaran Dungun, di sini, hari ini.

Show More

Related Articles

Back to top button