Politik

Pembersihan UMNO, 42 ahli dipecat keanggotaan

KUALA LUMPUR – ‘Pembersihan’ parti UMNO seperti yang dijanjikan Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut menyaksikan 42 ahli parti dipecat keanggotaan mereka.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia melibatkan lima orang ahli UMNO Bahagian Pasir Gudang, sembilan ahli UMNO Bahagian Putrajaya, dua orang ahli UMNO Bahagian Tanjung Karang dan 26 orang ahli UMNO dari Pahang.

“Antara kesalahan mereka ialah menjadi calon bebas, calon parti selain Barisan Nasional dan terlibat membantu parti lawan ketika PRU-15,” kata Ahmad dalam kenyataan, sebentar tadi.

Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula diumumkan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor yang baharu menggantikan Datuk Seri Hasni Mohamad.

Terdahulu, UMNO turut memecat bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Lima lagi anggota iaitu Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan, dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya pula digantung selama enam tahun.

Dua lagi adalah Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Salim Shariff.

Show More

Related Articles

Back to top button